Tuesday 3 June 2014

Khasiat Madu Lebah

MADU LEBAH DAN KEISTIMEWAANNYA

Allah s.w.t. telah menciptakan sekalian makhlukNya dan memudahkan untuk mereka barang apa yang diperlukan oleh mereka untuk meneruskan kehidupan. Di antara ribuan makhluk ini, Allah s.w.t. telah menciptakan sejenis serangga yang dipanggil lebah yang merupakan salah satu tanda kebesaran peniptaan Allah s.w.t. Allah s.w.t. telah berfirman dalam kitab suciNya mengenai lebah pengeluar madu yang mempunyai berbagai-bagai manafaat dan penyembuh bagi keharmonian dan kebahagiaan hidup manusia di dunia yang sementara ini. Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: hendaklah kamu membuat sarangmu di gunung-ganang, di pokok-pokok kayu dan juga di babgunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang kamu sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu. Dengan itu, akan keluarlah minuman(madu) yang berlainan warnanya dari dalam badannya yang mengandungi penawar bagi manusia daripada berbagai-bagai jenis penyakit. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (al-Nahl: 68-69)

Di dalam satu riwayat hadis yang dinukilkan oleh Abu Sa’ed al-Khudri r.a., beliau telah berkata, “seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. untuk mengadu tentang sakit perut.” Rasulullah s.a.w. telah bersabdakepada beliau, “Berilah dia minum madu.” Lelaki tadi pun memberikan madu untuk diminum oleh saudaranya itu. Kemudian beliau datang lagi untuk bertemu Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Aku telah memberikannya minum madu, tetapi perutnya masih sakit.” Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada beliau, “Berikanlah ia minum madu.” Kemudian lelaki itu datang lagi dengan pengaduan bahawa penyakit perut saudaranya itu masih juga belum sembuh. Demikianlah yang dilakukannya sehingga tiga kali. Rasulullah s.a.w. masih menyuruhnya minum madu. Lelaki itu tetap datang juga dengan pengaduan yang serupa. Dengan yang demikian, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Allah Maha Besar, perut saudaramu telah berdusta.” Riwayat Muslim.

Beberapa orang ulamak telah berkata lelaki itu mempunyai sisa-sisa makanan yang menyebabkan perutnya memulas sakit. Apabila diberikan madu kepadanya, oleh kerana sifat madu itu adalah panas maka ia menyebabkan perut perutnya sakit dan memulas-mulas. Kemudian diberi minum madu lagi, lalu menambah lagi rasa memulas di dalam perut lelaki tersebut. Oleh yang demikian, lelaki arab itu beranggapan bahawa madu itu memudaratkan perut saudaranya sedangkan madu itu memberi kesan baik kepada perut saudaranya itu. Setelah berulang kali diberi minum madu dan selepas setiap kali sakitnya memulas dan apabila segala sisa-sisa makanan yang memudaratkan badan tersebut dihancurkan dan dibuang memalui penyaluran najis, maka barulah pulih perut saudaranya itu dan kembali tenang keadaan dirinya dengan lenyapnya kesakitan dan kepedihan lantaran keberkatan petunjuk Rasulullah s.a.w. dari Tuhannya.

Daripada Aisyah r.a. katanya, “Madu adalah makanan kesukaan Rasulullah s.a.w.”

Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Penawar itu terdapat pada tiga perkara. Bekam, meminum madu dan membakar (mencos) diri dengan besi panas (dengan tujuan membunuh kuman) dan aku menegah umatku dari mulakukan pembakaran badan dengan besi panas.” Al-Bukhari.

Telah berkata jumhur ulamak bahawa madu dikeluarkan dari mulut lebah. Diriwayatkan dari Ali r.a. bahawa beliau berkata, “Kehinaan untuk dunia, semulia-mulia pakaian manusia di dalam kehidupan dunia adalah dari air liur sejenis serangga (kain sutera dari ulat sutera) dan semulia-mulia minuman adalah apa yang keluar dari mulut lebah (madu).”

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud r.a. sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda, “Madu adalah penyembuh bagi penyakit di dalam hati dan hendaklah kamu berubat dengan madu dan al-Quran.”Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a. sabda Rasulullah s.a.w., “Barang siapa yang makan madu tiga hari dalam setiap bulan, tidak akan tertimpa keatasnya bala yang besar.”

Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik r.a. bahawa sekiranya beliau sakit, beliau akan berkata bawakan air untukku kerana sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman (maksudnya), “Kami menurunkan dari langit air yang berkat.” Kemudian beliau berkata, “Bawakan madu kepadaku (kemudian beliau membaca ayat 68-69 surah al-Nahl) dan bawakanlah kepadaku minyak (zaitun) lantaran ianya adalah dari pokok yang berkat.” Beliau mencampurkan ketiga-tiga jenis bahan itu dan beliau membaca ayat tadi.

Keistimewaan Madu:
1. Sebagai makanan lengkap.
2. Sebagai penyembuh penyakit.
3. Sebagai antiseptik.

No comments:

Post a Comment